Masjid-masjid menarik di China

Assalamualaikum w.b.t !

kali ni saya akan berkongsi sikit tntg masjid-masjid yg terdapat di China...

Jom kita tengok ^^ !

Masjid Emin Minaret, Xinjiang
Masjid Emin Minaret merupakan salah sebuah masjid yang terbesar di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China.
Masjid itu terletak di Kampung Munage sejauh dua kilometer dari sebelah timur Bandar Turpan. Masjid itu luasnya 2,500 meter persegi.
Pada setiap hari Jumaat, lebih seribu orang umat Islam berkumpul di masjid itu untuk solat Jumaat.
Masjid Emin Minaret berhampiran dengan Menara Emin Minaret, satu-satunya menara yang bercirikan seni bina Islam daripada 100 buah masjid yang paling terkenal di China. Menara itu dibina pada tahun 1777 Masihi dan disenaraikan sebagai peninggalan sejarah penting kebangsaan pada tahun 1985.
Menara itu dibina oleh Sulaiman, pegawai tentera yang terkenal pada zaman Dinasti Qing untuk memperingati ayahnya yang cemerlang serta untuk menunjukkan kesetiaan kepada maharaja Dinasti Qing.
Pada masa ini, Menara Emin Minaret menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di Turpan, Xinjiang. Di bawah menara itu, terdapat sebuah pasar Islam antarabangsa yang terkenal.

Masjid Maiwulan di Aksu Xinjiang

Masjid Maiwulan merupakan masjid yang terkenal dan pusat agama di Bandar Aksu, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China. Masjid yang telah berusia lebih 600 tahun itu menarik berpuluh-puluh ribu orang pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun.
Pada tahun 1340-an Masihi, kawasan Aksu menjadi pusat politik bagi negara Chagatai Khanate Timur. Penduduk di negeri itu menganut pelbagai agama termasuk agama Islam. Pada tahun tahun 1347, keturunan generasi ketujuh Genghis Khan menjadi raja dan menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Imam yang terkenal pada zaman itu, Mai Wulan mengumpulkan derma untuk membina sebuah masjid yang besar. Setelah beliau meninggal dunia, jenazahnya dikuburkan di masjid itu. Oleh sebab itu, masjid tersebut dinamakan Masjid Maiwulan.
Bangunan-bangunan yang utama di dalam masjid itu termasuk ruang sembahyang, bilik ceramah, menara azan dan makam Maiwulan. Masjid itu bercirikan seni bina Asia Barat. Pada tahun 1982, pihak berkuasa menyediakan peruntukan untuk membaik pulih masjid tersebut. Pada masa ini, Masjid Maiwulan luasnya kira-kira 0.8 hektar dan menjadi salah sebuah masjid yang besar dan bersejarah di China. Selain itu, Masjid Maiwulan disenaraikan sebagai peninggalan sejarah penting peringkat kebangsaan.


Masjid Jiaman di Hotan Xinjiang

Masjid Jiaman merupakan salah sebuah masjid yang terbesar di Bandar Hotan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, China.
Masjid itu dibina pada tahun 1875 Masihi dan dibina semula oleh pihak berkuasa pada tahun 1997.
Bangunan masjid itu bercirikan seni bina tradisional etnik Uygur. Teknik pembinaan masjid itu amat hebat.
Arkitek menggunakan batu bata berwarna kuning untuk membentuk corak berbentuk kubah yang cantik pada dinding.

Masjid Jamia di Jalan Sherry, Hong Kong

Pada tahun 1840-an, tentera Britain mencerobohi China yang diperintah oleh kerajaan Dinasti Qing pada masa itu. Kerajaan China terpaksa melepaskan Hong Kong kepada Britain menerusi satu perjanjian yang ditandatangani. Britain yang khuatirkan tindakan balas penduduk tempatan terhadap orang-orangnya, telah membawa masuk ramai orang India dari negara jajahannya yang lain ke Hong Kong sebagai pembantu penjajah. Sebahagian mereka yang datang ialah penganut Islam. Pada masa itu, ramai daripada mereka ditempatkan di Jalan Sherry. Selepas bekerja seharian, mereka sering berkumpul dan berjual beli di jalan tersebut. Dan bilangan mereka semakin bertambah akhirnya menjadi sebuah pasar. Jika masuk waktu sembahyang, mereka bersembahyang secara berjemaah di jalan tersebut. Penduduk tempatan, iaitu orang China pada masa itu tidak memahami apa yang dilakukan oleh pendatang Islam itu. Mereka sering kali melalui jalan tersebut selepas membeli daging babi di pasar Hong Kong. Dalam keadaan bersesah-sesah itu, ada penganut Islam yang tersentuh menyebabkan sering kali tercetus konflik antara orang India dengan penduduk tempatan. Untuk meredakan ketegangan dan mengekalkan kestabilan pentadbiran tanah jajahannya, pihak Britain menandatangani perjanjian dengan para penganut Islam bagi menyewa sebahagian tanah di sekitar jalan Sherry selama 999 tahun untuk membina sebuah masjid. Dengan demikian, penganut Islam di Hong Kong mempunyai masjid sendiri yang menjalankan kegiatan keagamaan tanpa gangguan.

Masjid Kaohsiung di Taiwan

Masjid Kaohsiung di Bandar Kaohsiung, Taiwan dibina oleh anggota tentera dan ahli politik beragama Islam yang berhijrah dari Tanah Besar pada Januari 1949. Pada mulanya, masjid itu hanya merupakan sebuah surau yang luasnya 27 meter persegi. Pada tahun 1951, masjid itu dipindahkan ke sebuah bangunan yang bercirikan seni bina Jepun dan berkeluasan kira-kira 460 meter persegi. Tuang sembahyang masjid itu mempunyai keluasan 135 meter persegi.
Seiring dengan pertambahan jumlah umat Islam di Bandar Kaohsiung, surau yang kecil itu tidak dapat menampung begitu ramai umat Islam solat berjemaah. Projek membina semula Masjid Kaohsiung bermula pada bulan Disember 1990 dan selesai pada April 1992. Bangunan baru masjid itu mempunyai tiga tingkat atas bumi dan setingkat di bawah tanah dan luasnya 2,657 meter persegi. Tingkat satu merupakan pusat aktiviti agama. Tingkat kedua merupakan ruang sembahyang dan kursus pengajian bahasa Arab dan pelbagai ilmu mengenai agama Islam. Dan tingkat ketiga merupakan ruang sembahyang untuk muslimah. Selain itu, masjid itu juga menyediakan pejabat imam, pejabat pentadbiran, ruang tetamu kenamaan, perpustakaan, tempat wuduk, tempat menyembahyangkan jenazah dan dapur.
Masjid Kaohsiung menubuhkan lembaga yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran masjid dan menangani hal ehwal yang berkenaan. Lembaga pada masa ini terdiri daripada 23 orang anggota yang dipilih oleh umat Islam tempatan. Selain itu, lembaga tersebut juga bertanggungjawab untuk mengawal dua kawasan makam Islam dan pusat bekalan makanan dan daging halal serta pembangunan komuniti Islam di kawasan yang berhampiran dengan masjid tersebut.

Ps:Stakat itu saja yg dpt saya kongsi kan,sbenarnya banyak lagi ^^
Insyaallah,jika ada masa saya akan berkongsi lagi ^^




No comments:

Post a Comment